BUKIT KAYU HITAM: Cubaan seorang lelaki menyeludup 110 kilogram (kg) syabu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah gagal apabila dia ditahan dalam serbuan di Pokok Sena, di sini.
Dalam operasi jam 8.30 pagi pada 4 Disember lalu, suspek berusia 40-an yang memandu Toyota Vellfire turut merempuh kenderaan pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) hasil maklumat Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Bukit Kayu Hitam.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff, berkata pihaknya mengesan MPV berkenaan sedang bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena.
“Menyedari kenderaan dikesan, suspek cuba meloloskan diri dengan melanggar kenderaan pihak berkuasa dan kemudian terbabas.
“Suspek kemudian terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran, namun berjaya diberkas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Nor Izah berkata, pemeriksaan terhadap MPV itu menemui empat guni besar pelbagai warna tersorok di belakang kenderaan dan beberapa bungkusan teh Cina dipercayai mengandungi syabu.
Menurutnya, pihaknya merampas kesemua dadah dianggarkan seberat 110 kilogram dengan anggaran nilai RM3.52 juta, manakala suspek direman sehingga 16 Disember untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ini modus operandi pertama menggunakan kenderaan mewah oleh sindiket dadah untuk penyeludupan di kawasan sempadan. Toyota Vellfire ini dipercayai digunakan untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.