YAN: Seorang lelaki cedera di kaki dan paha selepas terkena tayar lori yang tercabut dalam kejadian di Simpang Kuala, Sungai Daun, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Musa Rabien berkata, mangsa berusia 45 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 1 tengah hari tadi ketika mangsa berada di bahagian belakang bonet kereta Proton Iswara miliknya di bahu jalan di kawasan kejadian.
“Pada masa sama, lori Hino membawa muatan sekam padi dari arah Batas Paip ke Yan yang melalui kawasan itu secara tiba-tiba satu daripada tayar di belakang lori itu tercabut dan bergolek ke arah mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurut Musa, akibat jarak yang dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum tayar berkenaan terkena pada bahagian kaki dan paha mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan.
“Pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ditahan untuk dirakam keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.