KOTA BELUD: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat rodanya melanggar seekor kerbau di sini awal pagi tadi.
Kejadian turut mengakibatkan kenderaan itu terbabas ke gaung sedalam lima meter berhampiran stesen minyak Pangkalan Abai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 4.09 pagi.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux melanggar seekor kerbau lalu terbabas masuk gaung sedalam lima meter.
“Terdapat seorang lelaki berusia 36 tahun cedera di bahagian belakang dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 4.42 pagi,” katanya.