comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki cedera kaki, tangan terjatuh longkang monsun

Anggota APM sedang berusaha menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh dalam longkang monsun ketika berjalan menuju ke sebuah farmasi di Jalan Syed Saffi berhampiran Taman Emas Jaya, Bintong di Kangar.-Foto: NSTP

KANGAR: Seorang lelaki cedera di kaki dan tangan selepas terjatuh dalam longkang monsun ketika sedang berjalan menuju ke sebuah farmasi di Kangar, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 10.07 malam apabila mangsa yang berusia 37 tahun sedang berjalan di kaki lima Jalan Raja Syed Saffi menuju ke sebuah farmasi di Taman Emas Jaya, Bintong.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, mangsa yang sedang bergegas menuju ke farmasi itu tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang monsun yang didapati sudah hilang penutup besi yang menutup longkang berkenaan.

“Mangsa dipercayai tidak perasan bahawa terdapat lubang pada longkang berkenaan disebabkan terlalu memandang ke arah premis farmasi yang sudah ditutup itu dan akibat kejadian, pihak kita menerima panggilan kecemasan untuk membantu menyelamatkan mangsa yang gagal untuk memanjat keluar dari longkang monsun berkenaan.

“Lima anggota APM kemudian tiba di tempat kejadian sekitar jam 10.13 malam dan berjaya membawa keluar mangsa dari dalam longkang monsun berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan sekitar tidak lama selepas itu dan segera dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami cedera pada kaki dan tangan dan sudah dihantar ke HTF untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini