Tumpuan :
Nasional

Lelaki cedera dihempap kereta buruk 

Foto: JBPM

RANAU: Seorang lelaki cedera selepas dihempap kereta buruk ketika melakukan kerja pemotongan untuk dilupuskan di sebuah bengkel di Kampung Kilimu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di dada selepas berjaya diselamatkan orang awam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.36 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mangsa.

“Mengikut laporan, mangsa dihempap kereta jenis Isuzu Invader ketika menjalankan kerja-kerja pemotongan kereta buruk untuk pelupusan.

“Mangsa mengalami cedera ringan di dada dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus bertindak memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini