Tumpuan :
Nasional

Lelaki buat laporan palsu kereta mewah dilarikan untuk tuntut insurans

Foto hiasan

REMBAU: Seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu kehilangan sebuah kerera mewah miliknya awal pagi semalam, semata-mata mahu membuat tuntutan insurans.

‘Mangsa’ mendakwa dia disamun dua lelaki dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu dan suspek kononnya melarikan kereta dinaikinya bersama barang peribadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadir Shaik Mohamed berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 40-an itu kira-kira jam 3.15 pagi.

“Kejadian dikatakan berlaku pada malam Jumaat lalu. Pengadu menyatakan ditahan dua individu tidak dikenali dan dikatakan barang peribadi disamun serta kereta jenis Audi dilarikan.

“Pihak kami kemudiannya menjalankan siasatan seperti biasa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, hasil siasatan dan soal siasat terhadap pengadu mendapati kejadian yang dilaporkan adalah palsu.

“Pengadu membuat laporan palsu bertujuan membuat tuntutan daripada syarikat insurans,” katanya.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut terhadap kes ini diteruskan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu sehingga memberikan impak negatif kejadian jenayah yang boleh menyebabkan rasa terancam kepada penduduk setempat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini