comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki buat bising maut dibunuh

Lokasi lelaki maut di bunuh akibat membuat bising di Taman Sejati, Batu Anam, Segamat malam tadi. – FOTO: NSTP

SEGAMAT: Seorang lelaki yang dipercayai membuat bising maut dibunuh dalam satu pergaduhan di depan sebuah kediaman di Taman Sejati, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita India jam 9 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berusia 30 tahun.

“Mangsa dipercayai telah membuat bising di hadapan rumah suspek.

“Pergaduhan dipercayai tercetus bermula daripada pertengkaran sebelum berakhir dengan mangsa terbunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati mangsa terbunuh disebabkan libasan dan tetakan parang oleh suspek.

Siasatan juga mendapati, beberapa rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut mengalami beberapa kecederaan dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat.

Beilau memberitahu, dalam kejadian itu kenderaan milik keluarga suspek turut dirosakkan rakan-rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menyebabkan mangsa terbunuh.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis membuat tangkapan pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan belasan tahun hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki yang menyebabkan khianat dan rusuhan.

Menurutya, kes disiasat bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Kes juga disiasat bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Selain itu katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau.

Ahmad Zamry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan tersebut boleh berhubung di Ipd Segamat 07-9312222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini