MELAKA: Seorang lelaki warga Bangladesh ditangkap berkhalwat bersama wanita Indonesia di sebuah hotel terkenal di Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, di sini, awal pagi tadi.
Pasangan berusia 37 dan 30 tahun itu memberikan alasan tidak dapat menghubungi perkhidmatan e-hailing ketika disoal penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika pemeriksaan di bilik hotel itu.
Sebaik dibawa keluar dan diarah duduk di sebuah kerusi di hadapan hotel terbabit, mereka kemudiannya diberi ‘tazkirah’ oleh Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat.
Mereka hanya tertunduk dengan si lelaki yang bekerja sebagai pelayan restoran tiba-tiba sebak dan menangis kerana mengakui kesalahan dilakukan sebelum ditegur Che Sukri.
Pada sidang media selepas itu, Che Sukri berkata, hasil soal siasat lelaki Bangladesh itu mendakwa terpaksa mengajak kekasihnya tidur di hotel berkenaan selepas tidak dapat menempah penyedia perkhidmatan e-hailing.
“Wanita Indonesia itu bekerja sebagai pembantu rumah dan mendakwa dia tidak dapat pulang ke rumah majikannya di Permatang Pasir serta sudah memaklumkan hal itu kepada majikan dengan alasan bermalam di rumah kawan.
“Ketika diperiksa, si lelaki berkali-kali memohon maaf sambil menangis kerana kesal dengan kesilapannya itu, namun mereka ditahan dan dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai operasi bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah.
Ketika ditanya wartawan wanita Indonesia itu mendakwa mereka berkenalan selama enam bulan dan kerap datang ke bandar bagi mengirim wang untuk dua anaknya di Sumatera, Indonesia.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan JAIM menahan seorang perempuan penuntut politeknik berusia 20 tahun bersama kekasihnya berusia 22 tahun kerana berada di kawasan sunyi dan gelap di atas batu di Pantai Siring, Serkam, di sini.
“Mereka beri alasan hanya melepak di situ selepas makan malam, namun ketika diperiksa kedua-duanya duduk rapat tanpa mempunyai ikatan sah sebelum dibawa ke pejabat JAIM untuk membantu siasatan.
“Turut ditahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat kurier berusia 28 tahun kerana berkurung hingga mendatangkan syak dengan kekasihnya berusia 25 tahun wanita bukan Islam berasal dari Sarawak di sebuah hotel terkenal di Ujong Pasir,” katanya.
Che Sukri berkata, dalam operasi itu selama lima jam bermula 11.30 malam, pihaknya berjaya menahan lima pasangan kekasih berusia antara 20 tahun hingga 37 tahun bagi siasatan mengikut Seksyen 53 dan Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Seksyen 53 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 71 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.