KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bertindak membakar rumahnya sendiri sehingga merebak ke empat rumah bersebelahan di Kuang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima laporan kejadian jam 7.06 malam.
“Hasil maklumat awam di lokasi kejadian memaklumkan suspek bertindak membakar rumahnya sendiri menyebabkan api merebak ke empat rumah berhampiran.
“Pasukan polis yang tiba di lokasi kemudian diserahkan lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terbabit kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif suspek bertindak demikian,” katanya suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.
Mohd Hafiz meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammuddin Mohd Razib di talian 016-5661597.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan melulu yang melanggar undang-undang dan tangkapan hendaklah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.