DUNGUN: Seorang lelaki mengamuk dan membakar rumah yang didiami bersama ibu bapanya di kampung Besol Baru, petang tadi.
Kebakaran menyebabkan keseluruhan rumah hangus seratus peratus manakala sebuah kereta jenis proton Aeroback dan sebuah motosikal turut rosak.
Ketika kejadian, suspek, 40, tinggal berseorangan di rumah.
Menurut bapa suspek, dia dan isterinya terpaksa tinggal di rumah seorang lagi anak mereka di Bandar Bukit Besi kerana bimbang akan keselamatan mereka berikutan suspek sering bertindak ganas.
Sebelum kejadian, dia dalam perjalanan untuk memeriksa keadaan rumah dan anaknya itu kira-kira jam 2.30 petang.
Ketika singgah membeli minuman, suspek yang turut berada di kedai meminta duit daripadanya sebelum memberitahu yang dia sudah membakar rumah mereka.
”Balik dari solat Jumaat, saya singgah la sekejap nak beli air, sementara nak order air tu dia ( anak ) sampai naik motor, dia mari minta duit, saya tanya nak buat mende, adalah dia kata nak beli benda, saya pun bagi duit RM10, bila saya bagi dia kata rumah terbakar dah, saya pun terus mari ingatkan dia main-main, mari tu tengok habis dah rumah , api, merah dah api,” katanya.
Suspek kini ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Bukit Besi untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, operasi pemadaman membabitkan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Billah Shah, AMBS.
Api dapat dipadamkan kira-kira jam 3 petang.
Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.