Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Wisma Yakin, bangunan yang dibuka sejak tahun 1976 memegang sejarahnya tersendiri apabila menjadi premis perniagaan antara tertua buat peniaga Melayu di ibu kota.
Hampir lima dekad teguh berdiri, setiap kali menjelang musim perayaan dan sesi persekolahan, bangunan ini sesak dengan pelanggan.
Wisma Yakin menjadi tumpuan warga kota bagi mendapatkan barangan kelengkapan antaranya baju melayu, baju kurung, songkok sehingga kelengkapan ibadah.
HASIL JUALAN MENURUN
Sahmar Zubir, 68, peniaga sejak awal 80 an ini berpendapat, situasi itu tidak lagi sama.
“Kalau dulu masa nak raya kita belum buka kedai, pelanggan dah tunggu. Kalau zaman jayanya dulu, kalau kita buat 100 helai tu, 80 helai habis dijual.
“Kalau sekarang buat 100 helai, saya ingat 25 helai belum tentu terjual,” jelasnya.
Jelasnya, pasca pandemik COVID-19, kurangnya fasiliti berhampiran sehingga ke kejadian tanah jerlus berhampiran bangunan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada jualan hariannya.
“Keyakinan diri kita yakin apa kita buat boleh, jangan buka (kedai) sekejap sehari dua hari dah tutup. Apa pun susah senang, alhamdulilah rezeki itu akan datang kita kena yakin
“Persaingan terlalu kuat peniaga luar dia jual buatan kilang, tak sama jahitan dan potongannya. Macam saya walaupun baju siap kualiti kita jaga dan itu jadi tarikan pelanggan di sini,” katanya lagi.
UBAH KAEDAH PEMASARAN
Bagi seorang lagi peniaga, Mazlan Tahir, 58, beliau mengubah kaedah pemasaran demi kelangsungan perniagaannya.
Jika dulu jelasnya rata-rata peniaga hanya menantikan pelanggan di kedai, kini tidak lagi apabila Mazlan menjalankan promosi rumah ke rumah.
“Macam saya terpaksa pergi rumah pelanggan untuk buat jualan. Ada pelanggan tetap, kita kena pergi lah.
“Macam bulan puasa sebulan sebelum puasa, kita dah keluar untuk ke rumah pelanggan. Dulu memang kita tunggu sahaja di kedai, sebab dulu Wisma Yakin ini memang tempat baju melayulah. Tapi sekarang kita terpaksa berjuang sebab kemudahan tidak cukup di kawasan ini,” katanya.
Jelasnya, kurang fasiliti seperti tempat parkir kenderaan, juga keadaan gerai-gerai berhampiran Wisma Yakin yang tidak tersusun menyebabkan orang ramai kurang tertarik datang ke bangunan itu.
“Kalau betul pihak berkuasa tempatan nak tolong, susun semula balik gerai-gerai (di sekitar Wisma Yakin). Buat promosi tempat ini untuk naikkan balik tempat ini.
“Waris orang Melayu berniaga yang mula-mula meniaga kalau kita lihat sejarah, ini tempat orang Melayu mula berniaga. Jadi kena hidupkan balik lah,” katanya lagi.
GUNA MEDIA SOSIAL
Seorang lagi peniaga, Hayati Shuaidi, 58, berkongsi cerita bagaimana perniagaannya terus bertahan.
Mengakui perlu mengikut peredaran zaman, beliau menggunakan media sosial bagi memasarkan setiap barangnya.
“Saya buat pemasaran dalam talian sebab kita berniaga dah lama, kadang-kadang ada pelanggan nak datang kedai tengok baju macam mana.
“Ada juga pelanggan lebih kurang 10 peratus yang guna media sosial, tetapi Wisma Yakin ini lebih kepada pelanggan yang datang sendiri ke sini,” katanya.
Ujar Hayati, rekaan busana tradisional juga mengikut peredaran zaman dan trend masa kini demi menarik pelanggan.
“Kita kena ikut keadaan semasa, apa pakaian pelanggan minta, kurangkan pakaian tradisional nak ke arah moden. Jadi kena ikut cara, kain sampin songket, cara pemakaian mereka yang smart.
“Cara tradisional sangat agak kurang, contoh baju melayu dengan pesak, saya tengok 80 peratus ke arah moden, 20 peratus pelanggan hendak yang ada pesak,” ujarnya lagi.
Baginya, meskipun Wisma Yakin dilihat sebagai bangunan lama, namun peniaga di sini sentiasa berubah mengikut selera pelanggan di luar sana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.