Tumpuan :
Nasional

Legasi kepimpinan Tunku Abdul Rahman jadi panduan bina negara lebih baik – PM

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu legasi kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terus menjadi panduan dalam usaha membina negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Malah beliau turut menyatakan pentadbiran Malaysia MADANI akan terus dikemudi dengan dengan nilai perpaduan, integriti dan keadilan buat semua, menerusi konsep diwariskan daripada Tunku Abdul Rahman.

Anwar menyatakan perkara itu sebagai mengenang ulang tahun keputeraan sosok negarawan ulung terbabit, hari ini.

Beliau yang menghargai jasa Almarhum menyifatkan nama Perdana Menteri pertama itu tidak hanya terukir dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan Negara, sebaliknya sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional yang harmoni.

“Keghairahan Almarhum dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni harus terus menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama dalam menghadapi cabaran masa kini.

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

“Dalam mengemudi Malaysia MADANI, saya berpegang teguh kepada nilai yang diwariskan Almarhum selain bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua.

“Sumbangan Almarhum pastinya akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai perpaduan dan keamanan yang membentuk kesatuan negara kita,” katanya melalui catatan di media sosialnya, hari ini.

Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903 sebelum meninggal dunia pada 6 Disember 1990 di usia 87 tahun.

Almarhum menjadi Perdana Menteri pertama sejak Kemerdekaan pada 1957 sehingga 1970.

Pada masa sama, Anwar turut mendoakan semoga roh Tunku Abdul Rahman dilimpahkan ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini