Tumpuan :
Nasional

Lebuhraya SPE dibuka sepenuhnya bermula malam ini

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bergambar di hadapan tol selepas merasmikan Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Palza Tol Chan Sow Lin. – Foto: NSTP.

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE) membabitkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer (km) mula sepenuhnya dibuka malam ini.

Lebuhraya ini juga menghubungkan beberapa lebuhraya lain seperti Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuh raya SPE dapat meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu kota.

“Menurut kajian yang telah dilakukan oleh pihak perunding trafik, lebuhraya ini dijangka mengurangkan sehingga 30 peratus masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna.

Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE) dibuka sepenuhya bermula malam ini – FOTO : FB Alexander Nanta Linggi

“Terutamanya pada waktu puncak membabitkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari pusat bandaraya Kuala Lumpur.

“Pembukaan sepenuhya Lebuh raya SPE ini membawa impak signifikan terhadap usaha kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat. Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dijangka mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit,” katanya ketika merasmikan pembukaan sepenuhnya Lebuh raya SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menandatangani plak selepas merasmikan Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Plaza Tol Chan Sow Lin. -Foto : NSTP

Turut hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Mohd Zaid Zakaria dan Pengerusi Eksekutif Ekovest Bhd, Tan Sri Lim Hang Hoo.

Beliau turut berkata, selaras dengan Kempen MYJalan, beliau berharap semua pengguna lebuh raya dapat memupuk rasa tanggungjawab untuk menjaga dan menyayangi infrastruktur SPE supaya manfaat dan impak positif yang diperolehi berterusan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membuat tinjauan di Plaza Tol Chan Sow Lin selepas merasmikan Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE). – Foto: NSTP

Lebuh raya ini juga menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi dua kategori binaan iaitu laluan dua dek terpanjang pada struktur jeti tunggal iaitu sejauh 2.104 KM dan jambatan tanah bertingkat terpanjang iaitu sejauh 20.686 KM.

Alexander turut mengumumkan tol percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember ini membabitkan Plaza Tol Chan Sow Lin, Ampang, dan Setiawangsa.

Loading...
Terkini