KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kajang-Seremban atau LEKAS akan ditutup sepenuhnya untuk acara perlumbaan basikal RHB LEKAS Highway Ride 2024 Edisi ke-9 yang akan dilangsungkan pada 12 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata penutupan akan bermula jam 5 petang pada 12 Oktober sehingga jam 4 pagi pada 13 Oktober.
“Acara perlumbaan basikal anjuran Lebuhraya LEKAS ini akan dimulakan jam 7.45 malam pada 12 Oktober.
“Pihak Lebuhraya LEKAS akan menutup keseluruhan laluan lebuh raya bagi melancarkan acara perlumbaan itu yang dijadualkan sehingga jam 4 pagi 13 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, terdapat enam laluan utama yang terbabit dengan penutupan dan lencongan iaitu di Kilometer (KM) 2 Lebuhraya LEKAS menghala ke Seremban, susur keluar ke arah Bandar Teknologi dan susur masuk dari arah Semenyih.
Selain itu, susur keluar ke arah Ecohill, Jalan Bangi Lama susur masuk ke Lebuhraya LEKAS dan Jalan Eco Majestoc menghala ke Lebuhraya LEKAS di Plaza Tol Eco Majestic.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua pengguna jalan raya untuk mengelakkan daripada melalui jalan yang terbabit dengan penutupan dan lencongan pada tarikh dan waktu yang dimaklumkan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan supaya tidak terbabit dalam kesesakan lalu lintas dan kita minta semua pihak untuk mematuhi arahan anggota polis yang bertugas,” katanya.
Naazron berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya program terbabit dapat berjalan dengan lancar dan selamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.