KUALA LUMPUR: Rancangan melebarkan laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) kini di peringkat awalan dengan perincian projek itu dijangka dilaksanakan syarikat konsesi ANIH Berhad (ANIH) pada suku kedua 2024.
Projek itu antara lain akan mengetengahkan sistem kutipan tol tanpa henti dikenali Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), bertujuan melancarkan pergerakan trafik di plaza tol berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelaksanaan projek pelebaran itu membabitkan jajaran bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Central Spine Road, Bentong.
Cadangan itu, katanya, dijangka dapat menyediakan lebuh raya selesa, cepat, mudah, cekap dan mampu menangani isu kesesakan trafik yang sering berlaku di KLK, terutama ketika musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
“ANIH Berhad juga sudah melaksanakan obligasi untuk memasang lampu di KLK seperti terkandung dalam perjanjian konsesi.
“Selain itu, kerajaan juga sudah memasang lampu di jajaran Gombak, Terowong Genting Sempah ke persimpangan Central Spine Road yang termasuk dalam skop pelebaran yang akan dilakukan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai rancangan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi kesesakan lebuh raya di Plaza Tol Gombak dan Bentong pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman berkata, pengaktifan lorong smart menggunakan lorong kecemasan sudah dilaksanakan, namun tidak menyeluruh berikutan spesifikasinya memerlukan kelebaran 2.5 meter (m).
Bagaimanapun, katanya, pengaktifan lorong smart sementara tetap dilaksanakan mengikut keperluan berikutan kelebaran laluan kecemasan ketika ini adalah 2.25m.
“Kita sudah memasukkannya (spesifikasi lorong smart) dalam skop pelebaran membabitkan sehingga 3m bagi kemudahan lorong smart supaya penggunaan dapat dimaksimumkan,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam.
Sementara itu, beliau berkata, lorong lawan arus turut dibuka di Terowong Genting Sempah mengikut keperluan, bertujuan menyuraikan kesesakan trafik di KLK, terutama pada hujung minggu.
“Namun, kekangan kita apabila tiba di Plaza Tol Gombak, bermulanya kesesakan di Kuala Lumpur, menyebabkan kesesakan trafik berlaku hingga ke bandar Bentong yang sukar diatasi.
“Justeru, kita terpaksa melakukan pelebaran dan MLFF untuk mengatasi sekurang-kurangnya permasalahan (kesesakan trafik) dari semasa ke semasa,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah.