Tumpuan :
Nasional

Lebuh raya utama sesak bermula malam tadi

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa laluan di sekitar lebuh raya utama sesak berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, malam tadi.

Tinjauan menerusi akaun rasmi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 11 malam tadi mendapati trafik sesak di beberapa laluan terutama menghala pantai timur.

Pergerakan trafik perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah, Bukit Tinggi dan Lentang berikutan pertambahan kenderaan.

Trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering.

Bagaimanapun, trafik arah selatan dilaporkan terkawal dari Nilai ke Bandar Ainsdale dan Port Dickson.

Sebanyak 2.3 juta kenderaan dijangka keluar dari ibu kota melalui lebuh raya utama negara bermula malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, pergerakan itu bagi laluan utara, selatan dan pantai timur tanah air.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini