MUAR: Dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki rosak di laut, ditemukan selamat di perairan Indonesia, kira-kira 35 batu nautika dari perairan Muar, semalam.
Asamadi Omar, 55, dan Zulkefli Mad, 46, ditemui penduduk Bengkalis, Indonesia selepas lebih tujuh jam hanyut sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan dua nelayan terbabit daripada polis pada 11 pagi semalam.
Katanya, bot Penggalang 30 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kemudian digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat, namun pada 6 petang, ahli keluarga mangsa menghubungi polis memaklumkan nelayan itu ditemui selamat.
“Siasatan mendapati, bot mereka mengalami kerosakan enjin ketika menangkap ikan dan hanyut ke perairan negara jiran,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia dan APMM mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit termasuk pihak berkuasa Indonesia.
Untuk sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4349343 atau talian MERS 999.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.