Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenalpasti 231 individu yang ditangkap terkait dengan Global Ikhwan Sendirian Berhad Holdings (GISBH), mengaku sudah berkahwin.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, daripada jumlah itu hanya 100 orang memiliki rekod kahwin, susulan semakan pihaknya melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia.
“Jais akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang syariah di negeri ini.
“Antara perkara yang boleh disiasat adalah Seksyen 12 (c) berkaitan melanggar fatwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor Tahun 1995 serta siasatan berhubung pernikahan dan perkahwinan ahli anggota GISBH merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor tahun 2003.” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, siang tadi.
Mohammad Fahmi berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIS bertindak untuk memulihkan ahli GISBH dengan menyediakan dan menyelaras pembinaan modul pemulihan.
Ia bertujuan memberi peluang kepada ahli GISBH bertaubat secara sukarela dan disantuni sebagai mangsa dan bukan sebagai pesalah.
Setakat 7 November lalu, Mohammad Fahmi berkata, 11 peserta ditempatkan di rumah pemulihan dan melalui program pemulihan berpandukan Modul Istitabah MAIS selain diberi latihan kemahiran bersesuaian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.