comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih separuh orang dewasa di Terengganu alami obesiti

Foto hiasan

KUALA NERUS: Kira-kira 51 peratus atau seorang daripada dua dewasa di negeri ini mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, peningkatan kes penduduk di negeri ini mengalami masalah obesiti berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.

Katanya, penduduk terutama berusia antara 25 dan 50 tahun yang mengalami masalah berlebihan berat badan berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit terutama kencing manis dan darah tinggi.

“Hasil laporan daripada Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati kes berlebihan berat badan di Terengganu meningkat sebanyak 47.5 peratus pada tahun 2015, 2019 (49 peratus) manakala 51 peratus tahun ini.

“Bagi mengurangkan peningkatan kes berat badan berlebihan, seluruh masyarakat di negeri ini diingatkan bukan saja menjenguk viral pelbagai makanan disiarkan melalui media sosial, sebaliknya disaran menjenguk juga masalah kesihatan akan dihadapi,” katanya.

Terdahulu, Dr Kasemani merasmikan sambutan Funwalk 10,000 langkah dan Wellness Hub Open Day Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat negeri di Klinik Kesihatan Seberang Takir, di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, seluruh masyarakat diminta untuk terus mengamalkan cara hidup sihat dalam kehidupan seharian.

“Amalan cara hidup sihat perlu menjadi satu budaya dalam kehidupan bukan hanya sepanjang BMSS,” katanya.

Ketika mengulas mengenai penularan virus cacat monyet (mpox) di Terengganu, Dr Kasemani berkata, belum ada kes itu di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) sudah bersiapsiaga termasuk mengadakan taklimat kepada semua pegawai kesihatan di semua hospital dan klinik kesihatan daerah.

“Setakat ini tiada kes mpox dilaporkan berlaku di negeri ini, tetapi kita sudah bersiapsiaga termasuk memberi taklimat kepada semua petugas di hospital dan klinik di seluruh negeri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini