KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disangka hilang selepas terjatuh dalam longkang di Jalan Raja Laut, di sini, tiba-tiba ‘muncul’ di sebalik orang ramai ketika pasukan penyelamat sibuk melakukan pencarian.
Malah, lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun itu turut mengaku sudah pulang ke rumah selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran sebuah sekolah rendah dan mandi sebelum kembali ke lokasi kejadian.
Perkara itu dimaklumkan lelaki terbabit selepas lebih sejam pencarian dilakukan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di dalam kawasan loji dan kumbahan yang dikatakan mempunyai kedalaman 3.65 meter itu.
Pegawai APM Kuala Lumpur, Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.51 petang sebelum 14 anggota bersama beberapa jentera dari APM Kuala Lumpur dan Gombak dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan seorang mangsa terjatuh dalam longkang yang juga kawasan kumbahan sedalam 3.65 meter.
“Ketika pencarian mangsa dilakukan lebih satu jam di dalam kawasan loji, seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun hadir di lokasi.
“Lelaki itu memaklumkan dia adalah mangsa yang terjatuh ke dalam longkang berkenaan semasa memotong rumput selepas terpijak zink yang menutup lubang kumbahan berkenaan.
“Mangsa memberitahu dia segera berpaut dengan mesin memotong rumput untuk memanjat naik ke atas sebelum segera balik ke rumah dan membersihkan diri,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Ahmad Junaidi berkata, lelaki warga Myanmar itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan susulan penjelasan itu, pihaknya menghentikan operasi pencarian jam 7.30 malam tadi.