Oleh: Selwam Arjunan
BALIK PULAU: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar dadah menerusi laluan perairan ke negara asalnya dipatahkan pihak polis dalam serbuan di Teluk Bahang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM217,000 daripada suspek dalam serbuan itu.
Katanya, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Barat Daya telah menahan suspek di jeti perikanan di Teluk Bahang kira-kira jam 8.30 pagi semalam susulan risikan dan intipan.
Polis merampas enam ketulan ganja, dadah jenis syabu seberat 6.1 kilogram dan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 34 gram disimpan suspek, yang dianggarkan bernilai RM217,424 dalam pasaran.
“Suspek telah memasuki negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 29 September dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah ketika ditahan.
“Dalam masa lebih satu bulan dia cuba seludup dadah ke Indonesia dengan bekalan yang diterima.
“Siasatan mendapati suspek membayar pemilik bot sebanyak RM3000 untuk membawanya ke negara asal,” katanya dalam sidang media di IPD Barat Daya, di sini, pagi tadi.
Katanya, saringan urin suspek negatif dadah dan semakan mendapati tiada rekod jenayah.
Dia direman selama tujuh hari sehingga 7 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.