KUALA LUMPUR: Lebih RM80 juta kutipan fi pensijilan halal diterima dari tahun 2012 hingga 2023 membabitkan 85,893 syarikat sebagai pemegang saham.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sebanyak RM80,032,254.43 kutipan fi pensijilan halal diterima oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Katanya, kutipan itu adalah berdasarkan proses audit kecukupan dan analisis ramuan.
“Industri halal dikenal pasti sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kredibiliti Malaysia sebagai peneraju dalam pensijilan halal diperakui di peringkat global sehingga membawa peluang perdagangan dan pelaburan serta membuka pintu bagi syarikat pengeluar produk halal Malaysia ke pasaran global,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung perincian jumlah keseluruhan yang dikutip oleh JAKIM untuk pengeluaran sijil halal bagi setiap tahun dari tahun 2012 hingga 2023 dan jumlah sijil halal yang dikeluarkan untuk tempoh yang sama.
Mohd Na’im berkata, jumlah fi pensijilan halal menunjukkan peningkatan setiap tahun dan menggambarkan kefahaman serta kesedaran kepentingan pensijilan halal sebagai nilai tambah.
“Selain itu, peningkatan ini juga menunjukkan bahawa pensijilan halal Malaysia dapat diterima dengan baik oleh pihak industri dan pengguna di negara ini.
“Kerajaan sentiasa komited meningkatkan jumlah permohonan pensijilan halal Malaysia dalam kalangan pemain industri halal termasuk usahawan industri kecil dan mikro,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Hok Liong sama ada kementerian merancang mewajibkan pemilik kedai bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal, katanya, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Kabinet.
Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September lalu bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan sijil pengesahan halal adalah bersifat sukarela.
“Ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standar untuk dipersijilkan Halal.
“Kewujudan sijil halal ini memberikan keyakinan kepada pengguna dan ada peningkatan kepada syarikat yang memiliki sijil halal ini,” katanya.
Berhubung dakwaan rasuah, Mohd Na’im berkata, belum ada terbukti wujudnya rasuah dalam kalangan juruaudit atau pegawai yang melaksanakan pensijilan halal.
“Saya secara peribadi sudah mengarahkan kepada pihak Ketua Pengarah JAKIM untuk membuat siasatan dan sebagainya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.