![](https://media.buletintv3.my/2024/01/W5I4BUvF-BULETIN-TV3-13.jpg)
KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) hari ini menyerahkan sumbangan orang ramai berjumlah RM 716,500 kepada Malaysian Relief Agency (MRA) bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Cek sumbangan itu yang dikumpul melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima diserahkan oleh Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat MPB, Azlan Abdul Aziz kepada Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman.
Dalam satu kenyataan MPB memaklumkan, sumbangan yang dikumpul itu akan digunakan bagi membeli bekalan perubatan serta membiayai bantuan kemanusiaan yang diperlukan penduduk Gaza ketika ini.
“Konflik yang berlaku di Gaza menyebabkan penduduk disana berada dalam serba kekurangan. Sekatan terhadap bekalan makanan, perubatan dan barangan keperluan lain, secara tidak langsung telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang amat besar.
“Cek sumbangan akan digunakan untuk tujuan membekalkan perubatan kepada hospital, bekalan makanan, bekalan bahan api kepada hospital, kit kebersihan dan kelengkapan keperluan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
“MPB melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sentiasa komited melaksanakan membantu rakyat dan mangsa kekejaman di Palestin dengan kerjasama bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah tersebut,” katanya.
Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima melalui akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331.
Sementara itu, Dr Mohd Daud berkata, sumbangan berkenaan juga akan digunakan oleh pihaknya untuk bantuan kecemasan melibatkan makanan, minuman, bantuan tangki air dan ubat-ubatan kecemasan.
Tambahnya, lebih kritikal lagi pihak MRA akan menggunakan sebahagian daripada sumbangan itu untuk bantuan musim sejuk ekoran banyak bangunan dan tempat tinggal penduduk Gaza telah runtuh serta roboh dek kekejaman rejim Zionis.
“Itu (bantuan musim sejuk) pada kami adalah kritikal kerana banyak runtuhan dan kemusnahan, jadi mereka (rakyat Palestin) memerlukan perlindungan.
“Ia mengambil masa untuk membina tempat perlindungan, jadi kita perlu berikan bantuan musim sejuk misalnya selimut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini pihaknya telah menerima lebih RM2.4 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia yang telah berjaya disalurkan kepada penduduk Gaza.