Tumpuan :
Nasional

Lebih RM51 Juta Disalur Kepada Imam, Guru KAFA Selangor

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama peserta pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri Selangor, hari ini.

SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan menyalurkan kewangan sebanyak RM51,984,816 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA Selangor, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata peruntukan melalui

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu membabitkan beberapa inisiatif dalam konteks pembangunan dakwah.

Beliau berkata, ia termasuk bayaran khas, caruman kerajaan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) dan imbuhan bantuan khas.

“Sebanyak RM12,057,376 diberi kepada 5,834 penerima, membabitkan imam, bilal, siak dan guru takmir, manakala

RM1,400,000 bantuan khas diberikan kepada 2,800 guru KAFA, selain elaun RM38,527,440 kepada 2,800 guru KAFA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Selain itu, Idris berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM2,171,750 untuk program bantuan membina dan baik pulih rumah, masjid dan surau, institusi pendidikan, sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok serta pusat jagaan di seluruh negara, yang terkesan akibat banjir pada tahun lalu dan tahun ini.

Beliau berkata, daripada peruntukan itu, Selangor menerima RM785,000 bagi membina dan membaik pulih 33 masjid serta 91 surau di lapan daerah di negeri ini yang terjejas banjir. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini