Tumpuan :
Nasional

Lebih RM18 juta nilai kompaun denggi tahun lalu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 2,470 kompaun bernilai RM1.235 juta sepanjang bulan lalu bagi penguatkuasaan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi.

Menerusi kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, tindakan itu dibuat melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan purata setiap kompaun dikenakan sebanyak RM500.

Menurutnya, sejumlah 426 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dengan 48 kes telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM188,550.

“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sejumlah 36,426 tawaran kompaun bernilai RM18.213 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun. Sejumlah 4,264 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 911 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM2,349,950,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 4,423 notis kesalahan turut dikeluarkan sepanjang bulan lalu daripada 14,122 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Sebanyak 4,860 kompaun dikenakan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,198,100.

“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, daripada 246,982 premis yang dilawati, sejumlah 112,455 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 63,039 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM16,388,150,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, jelas Dr Muhammad Radzi, sebanyak 2,837 premis makanan telah diperiksa pada bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 2.78 peratus atau 79 premis diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sebanyak 104,925 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 adalah 2,242 premis iaitu 2.14 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil KKM, selain meminta orang ramai dan semua pihak untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.

Loading...
Terkini