comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih RM1 juta kompaun merokok dikeluarkan sepanjang September

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 4,753 kompaun dengan nilai tawaran berjumlah RM1,168,050 dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang bulan lalu menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kompaun itu adalah hasil aktiviti penguatkuasaan terhadap 23,093 premis yang dilawati dengan 9,848 notis kesalahan dikeluarkan.

“Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil KKM. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sebanyak 176 premis makanan iaitu 2.93 peratus daripada keseluruhan 6,003 premis yang diperiksa KKM diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Jelasnya, tindakan penutupan sementara premis tersebut adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis dan makanan yang dihidangkan.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi memaklumkan, sejumlah 2,566 tawaran kompaun bernilai RM1,283,000 dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.

Daripada jumlah itu, 523 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama, sebanyak 95 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM161,650.

“KKM sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini