KUALA LUMPUR: Lebih ramai pegawai bank yang terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan sebuah organisasi perunding kewangan akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya ketika ini sedang menyemak salah laku membabitkan organisasi itu dan percaya terdapat ramai individu yang terbabit.
Beliau berkata setakat ini, tumpuan Ops Sky adalah terhadap dalang utama sindiket itu yang ditahan dalam kalangan 12 suspek yang direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu membantu memohon pinjaman daripada pelbagai bank tetapi mengambil komisen setelah pinjaman itu diluluskan.
“Sindiket akan mengambil sekitar satu peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan dan dibahagikan kepada mereka yang terbabit, termasuk pegawai bank.
“Kami percaya masih ramai yang terbabit dalam kegiatan ini dan akan turut menyiasat mereka,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.
Seramai 12 orang ditahan dalam Ops Sky di sekitar Lembah Klang, termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram didalangi pegawai bank beberapa institusi kewangan negara.
Difahamkan, ramai yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan kegiatan itu selepas sindiket berjaya menyusup masuk ke kementerian dan jabatan di seluruh negara.
Sindiket itu juga dipercayai menjalankan jelajah ke jabatan kerajaan dan mempamerkan diri sebagai sebuah agensi bantuan kewangan yang kononnya boleh membantu penjawat awam yang mempunyai pinjaman atau hutang lapuk.
Mereka juga dikatakan menjadikan media sosial sebagai medan utama untuk menarik ramai mangsa yang terpedaya dengan dakwaan sindiket bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah kewangan individu.
Isnin lalu, 12 individu ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), hasil serbuan di 24 lokasi melalui Ops Sky yang dijalankan meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.