Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan rokok sebagai salah satu ancaman kesihatan awam terbesar yang dihadapi dunia.
Rokok membunuh lebih dari 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Lebih daripada 7 juta kematian di seluruh dunia adalah akibat penggunaan tembakau langsung manakala sekitar 1.3 juta adalah hasil daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok.
Pakar Onkologi & Pengasas Leaders in Oncology Care, London, Dr Peter Harper berkata proses pembakaran tembakau adalah jalan pintas bagi perokok untuk menghirup bahan kimia yang menyebabkan kanser ke dalam badan.
“Asap rokok yang dikeluarkan dari proses pembakaran tembakau mengandungi lebih daripada 6,000 jenis bahan kimia yang merupakan penyebab kanser, terutama karsinogen,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama BUTV3.
Karsinogen merupakan bahan atau ejen yang boleh meningkatkan risiko kanser di dalam badan.
Karsinogen boleh bersifat fizikal seperti sinaran ultraviolet dari cahaya matahari, kimia seperti ekzos kereta, asap rokok dan asbestos atau biologi seperti jangkitan yang disebabkan oleh virus tertentu.
Justeru, tidak membakar tembakau yang menghasilkan asap mungkin boleh mengurangkan amaun bahan kimia yang diambil oleh pengguna.
Sementara itu, Pengarah Urusan Philip Morris (Malaysia) Sdn. Bhd. (PMM), Naeem Khan berkata, salah satu inisiatif pengurangan kemudaratan tembakau adalah dengan mempunyai produk alternatif kepada rokok.
“Ramai perokok mahu berubah dari tabiat merokok, tetapi sukar melakukannya. Melalui cara ini, golongan yang menggunakan rokok tembakau mempunyai alternatif lain yang tersedia di pasaran,” ujarnya.
Alternatif kurang berbahaya
Terdapat pelbagai pilihan produk alternatif seperti produk tembakau yang dipanaskan di pasaran untuk menggantikan rokok.
Kebanyakan bahan kimia berbahaya dalam asap rokok dihasilkan melalui pembakaran tembakau.
Sebaliknya, produk alternatif seperti produk pemanasan tembakau direka hanya untuk memanaskan tembakau pada suhu sesuai untuk melepaskan nikotin dan perisa dalam tembakau, tetapi tidak cukup tinggi untuk menghasilkan pembakaran mahupun asap.
Menurut Dr Peter Harper, keseluruhan konsep peranti pemanas tembakau adalah ia tidak membenarkan sebarang pembakaran berlaku.
“Kaedah ini memanaskan tembakau pada suhu rendah supaya pengguna tetap mendapat kesan nikotin, namun mengurangkan jumlah bahan kimia yang terhasil,”katanya
Bagaimanapun, Dr Peter Harper menegaskan untuk jauhi semua produk tembakau.
“Saya tidak menyarankan untuk beralih ke alternatif berkenaan, bahkan saya menasihatkan untuk tidak merokok sama sekali, “ akhirinya.
Rujukan
1.https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tobacco#:~:text=The%20tobacco%20epidemic%20is%20one,%2Dhand%20smoke%20(4).
2.https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK53010/
3.https://www.genome.gov/genetics-glossary/Carcinogen#:~:text=A%20carcinogen%20is%20a%20substance,exhaust%20fumes%20and%20cigarette%20smoke).
4.https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/889003/produk-alternatif-rokok-konvensional-perlu-kawal-selia-berbeza
5.https://my.clevelandclinic.org/health/articles/25081-carcinogens