KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyerbu lebih banyak klinik beroperasi secara haram yang menggunakan doktor palsu warga asing di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kegiatan klinik berkenaan kini dalam perhatian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas 10 daripadanya diserbu kelmarin.
Jelasnya, operasi khas yang dilaksana JIM akan diteruskan bagi mengesan klinik terbabit sekali gus membanteras kegiatan yang dilihat memerbahaya kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan.
“Akan ada lagi serbuan selepas ini, sebahagian besar (operasi klinik haram) dikesan di Lembah Klang dan beberapa kawasan berdekatan.
“Kita sudah kenalpasti dan tahu lokasi klinik itu beroperasi dan semuanya dalam radar pihak JIM,” katanya pada sidang media selepas hadir Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan, Padang Serai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu ini bermula apabila ada pihak mengambil kesempatan inisiatif kerajaan menggalakkan aktiviti perubatan pelancongan bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Malaysia.
Katanya, JIM akan meneliti setiap permohonan yang dibuat melalui visa perubatan bagi mengelak ia disalahguna pihak terbabit.
Kelmarin, JIM menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap lokasi terbabit.
Operasi khas bersama Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilancarkan membabitkan premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, Leboh Pudu dan Jalan Silang.
Semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua tinggal lebih masa dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.