comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 800 anggota PDRM, RELA diatur gerak ke kawasan banjir

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sejumlah 647 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 154 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah diatur gerak ke kawasan terjejas susulan banjir di beberapa negeri ketika ini.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, ia turut membabitkan kekuatan aset sebanyak 35 bot, 29 lori dan 56 kenderaan pacuan empat roda.

“Tugas dan tanggungjawab KDN diketuai pasukan PDRM adalah berpandukan kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara No.20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara).

“Gerak kerja PDRM turut dibantu RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan sama, kekuatan anggota dan aset akan ditambah berdasarkan situasi bencana.

Pada masa sama, KDN menasihatkan seluruh rakyat yang berisiko terkesan akibat banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.

Laporan bencana nasional yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, setakat jam 4 petang tadi, seramai 24,930 mangsa daripada 7,657 keluarga masih ditempatkan di 147 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri terkesan banjir.

Negeri terbabit adalah Pahang, Selangor, Johor, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Loading...
Terkini