
KOTA BHARU: Lebih 80 individu terkilan selepas hasrat menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian, Disember tahun lalu menyebabkan mereka kerugian lebih RM600,000 .
Mereka mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan susulan bayaran penuh sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga kini wang berkenaan belum dikembalikan.
Mangsa, Noraini Pauzi, 50, dari Machang, berkata dia sepatutnya ke tanah suci bersama anaknya dan sudah membayar RM15,200 memandangkan pakej setiap seorang adalah RM7,600.
“Kami sepatutnya berlepas pada 14 Disember tahun lalu namun seminggu sebelum berlepas, kami dimaklumkan oleh agensi berkenaan umrah kami ditangguhkan susulan ketika itu berlangsung Piala Dunia di Qatar.
“Kami kemudiannya dijanjikan akan berlepas pada Februari, namun sekali lagi gagal kerana memaklumkan terdapat masalah di Makkah, sebelum dijanjikan penerbangan seterusnya pada Mac.
“Namun, janji tinggal janji dan hasrat kami untuk menunaikan umrah tidak kesampaian. Apabila kami mendesak untuk mendapatkan semula wang kami, pelbagai alasan diberikan dan sehingga kini masih masih menunggu itu dikembalikan,” katany selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, hari ini, yang turut disertai lebih 20 bakal jemaah lain.
Hasliliwani Ab Ghani, 37, turut meluahkan rasa kecewa apabila hasrat dia bersama kakak serta abang untuk menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian.
“Lebih menyedihkan duit yang kami gunakan adalah duit arwah ibu kerana sebelum ibu meninggal dunia, dia berhasrat untuk membawa kami adik beradik menunaikan umrah, namun tidak kesampaian,” katanya.
Bagi Azra Zahari, 43, yang tampil membuat laporan polis bagi pihak kedua ibu bapanya, menggesa agensi pelancongan itu mengembalikan semula wang mereka.