Tumpuan :
Nasional

Lebih 70,000 calon STPM, setaraf berjaya masuk universiti awam

 

Foto hiasan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 70,156 calon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf memperolehi tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat sarjana muda bagi sesi akademik 2023/2024.

Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah permohonan UPUOnline yang diterima adalah sebanyak 118,143 calon.

“Sejumlah 24,846 calon lelaki dan 45,310 calon perempuan berjaya ditawarkan tempat. Kadar kejayaan lelaki adalah 73.94 peratus berbanding perempuan 73.49 peratus.

“Tawaran laluan khas secara keseluruhan adalah sebanyak 36,365 dengan pecahan tawaran iaitu 35,892 calon kategori B40, 192 orang kurang upaya (OKU), 181 atlet dan 100 Orang Asli,” menurut kenyataan itu.

Peratus calon Bumiputera yang berjaya adalah sebanyak 72.69 peratus daripada keseluruhan calon Bumiputera yang layak.

Calon bukan Bumiputera yang berjaya pula adalah 78.70 peratus daripada keseluruhan calon bukan Bumiputera yang layak.

Sebanyak 1,098 program pengajian sarjana muda ditawarkan bagi sesi kali ini.

“Terdapat 89,102 tempat disediakan kepada calon lepasan STPM atau setaraf di 20 UA yang melibatkan 72,772 tempat melalui UPUOnline. Manakala, 16,330 tempat lagi disediakan kepada calon ‘feeder’ melalui saluran UA masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Jabatan Pendidikan Tinggi berkata, keputusan permohonan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari, hari ini hingga 16 September 2023 (Sabtu), jam 5 petang melalui aplikasi UPUPocket di telefon pintar.

Keputusan juga boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Pengesahan setuju terima atau tolak tawaran akan bermula esok hingga 16 September ini melalui laman sesawang UA masing-masing.

UA akan mengeluarkan surat tawaran kepada calon yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran.

“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, calon yang tidak berjaya dipelawa mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai esok, jam 12 tengah hari sehingga 16 September, jam 5 petang.

Loading...
Terkini