comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 65,000 dapat kerja menerusi program penempatan semula PERKESO setakat Jun

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR: Seramai 65,674 pekerja telah ditempatkan dalam pasaran pekerjaan negara menerusi Program Penempatan Pekerjaan Semula Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 berkata sektor yang merekodkan jumlah kehilangan pekerjaan terbesar adalah pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta profesional saintifik dan teknikal.

“… untuk jumlah pemohon di bawah Sistem Insurans Pekerja, setakat 20 Jun 2024, PERKESO telah menerima 24,963 permohonan tuntutan kehilangan pekerjaan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,661 telah diluluskan. Ini melibatkan pembayaran sebanyak RM127.16 juta,” katanya.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 17 Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskannya.

Pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu bertujuan menambah baik dan memberi manfaat meliputi keselamatan sosial di bawah Sistem Insurans Pekerjaan antaranya meminda Seksyen 16 untuk menaikkan had maksimum kebolehinsuransan amaun gaji pekerja daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Selain itu, ia juga bertujuan meminda Jadual Kedua dan Jadual Ketiga kepada Akta 800 untuk memasukkan kadar caruman baharu yang dibayar majikan dan pekerja.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sim berkata pindaan bagi menaikkan had maksimum kebolehinsuranan amaun gaji seorang pekerja daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan dijangka memanfaatkan kira-kira 1.5 juta pekerja yang bergaji lebih RM5,000 sebulan dengan kenaikan kadar faedah sebanyak 20.2 peratus.

“Bagi kenaikan yang kita kemukakan untuk pindaan ini, peningkatan caruman majikan adalah antara RM1.70 sehingga RM 17.50 sebulan. Kita melihat kepada kewajaran untuk tambah baik manfaat kepada mereka yang mengalami musibah.

“Pada masa sama, (ia dapat) memastikan bebanan tambahan kos caruman sama ada untuk pekerja ataupun majikan tidak meningkat secara mendadak,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini