comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 650 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal dari Pelabuhan Sandakan. -FOTO Ihsan JIM

KOTA KINABALU: Seramai 652 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan dari Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal, semalam.

Semua PATI terbabit adalah tahanan di Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 469 lelaki dan 130 wanita.

Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 43 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan 10 kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah.

“Ini adalah program pemindahan siri 13 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.

“Semua PATI berusia lingkungan dua bulan hingga 76 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, seramai 3,118 tahanan warga Filipina dipindahkan dalam tempoh 2024 membabitkan pengangkutan laut dan udara menjadikan jumlah besar seramai 4,809 tahanan keseluruhan statistik warga asing yang dipindahkan.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini