comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 60,000 kenderaan Singapura sudah aktifkan tag RFID VEP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 62,635 kenderaan persendirian Singapura telah mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) setakat Rabu lalu (25 September).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengaktifan tag tersebut sebagai persediaan penguatkuasaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Oktober ini.

“Semua kenderaan asing Singapura yang belum memiliki VEP masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa.

“Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan persendirian Singapura yang belum mendapatkan tag RFID VEP akan diberi peringatan di pintu masuk untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mereka boleh berbuat demikian di mana-mana pusat pemasangan VEP seperti di Pejabat TCSens, Danga Bay; Akademi JPJ Wilayah Selatan dan Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, masing-masing di Johor Bahru atau di VEP Collection Centre, Woodlands, Singapura.

“Perlu diingatkan, notis amaran akan diberi kepada pemilik kenderaan persendirian Singapura sebelum meninggalkan Malaysia sekiranya masih belum memiliki VEP,” katanya.

Pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag RFID VEP boleh layari melalui laman sesawang https://vep.jpj.gov.my/.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilapor berkata, penguatkuasaan VEP adalah bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.

Jelas beliau, peraturan itu akan dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini