Tumpuan :
Nasional

Lebih 600 PATI ditahan di Pasar Besar Meru

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Besar Meru, pagi tadi. Foto NSTP

KLANG: Situasi di Kompleks Pasar Besar Meru riuh sebaik warga asing melihat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor masuk ke kawasan berkenaan, malah ramai yang kelihatan bertempiran lari.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi tadi, ada warga asing yang lari menyorok di bawah meja niaga serta di dalam longkang.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, daripada lebih 600 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan, 32 dibebaskan selepas pemeriksaan dibuat.

“Dari segi pecahan PATI yang diperiksa terdiri daripada Indonesia (sembilan), Bangladesh (85), India (lima), majoriti dari Myanmar 530 serta seorang dari Nepal.

“Jumlah keseluruhan 630 ditahan, 628 lelaki dan dua perempuan. Mereka berumur lingkungan 17 hingga 57 tahun.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Besar Meru, pagi tadi. Foto NSTP

“Kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di lokasi berkenaan, di sini pagi ini.

Hadir sama Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Amimus Kamarudin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan tiada dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas, malah ada yang tinggal lebih masa.

Semua kesalahan itu adalah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil pemeriksaan juga, ada dalam kalangan PATI yang berniaga dan memiliki sendiri gerai dan menyewa dari pemilik asal di pasar.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Besar Meru, pagi tadi. Foto NSTP

“Siasatan mendapati, kadar sewa pemilik asal kenakan kepada warga asing sangat tinggi dan berganda. Kalau kita lihat pagi ini, hanya ada pekerja tiada pemilik,” katanya.

Operasi bersepadu itu membabitkan 153 pegawai dan anggota JIM, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini