comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 51,000 kes pertikaian pembeli dengan pemaju rumah diselesaikan dalam tempoh 6 tahun

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Min. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) berjaya menyelesaikan sebanyak 51,233 kes termasuk kes tertunggak bagi tempoh enam tahun sejak tahun 2018 hingga 2023.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 9,081 kes adalah kes Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) manakala 42,152 kes Tribunal Pengurusan Strata (TPS).

“Bagi tempoh 2018 hingga 2023, sebanyak 48,839 kes TPPS telah didaftarkan dengan jumlah kes yang berjaya diselesaikan sebanyak 51,233. Ini adalah termasuk kes tertunggak dari tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun 2023 mencatatkan jumlah tertinggi penyelesaian kes iaitu sebanyak 11,361 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 28 orang Presiden baharu bagi TTPR dan TPS, di sini hari ini.

TPPS terdiri daripada dua tribunal iaitu TTPR dan TPS yang berfungsi sebagai forum alternatif untuk menyelesaikan pertikaian di antara pembeli rumah dengan pemaju perumahan serta hal berkaitan pengurusan strata secara mudah, murah dan cepat.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, bagi Januari sehingga Mei lalu, jumlah pendaftaran kes TTPR adalah sebanyak 791 kes dan 943 kes berjaya diselesaikan.

Untuk TPS pula, sebanyak 4,180 kes didaftarkan dengan 3,927 kes diselesaikan.

“Daripada jumlah 4,180 pendaftaran kes TPS, sebanyak 2,941 kes yang didaftarkan secara dalam talian melalui sistem e-TPS berbanding 1,239 kes yang didaftarkan di kaunter,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming mengingatkan semua Presiden TTPR dan TPS yang dilantik untuk sentiasa menjaga imej diri serta memberikan sepenuh komitmen dalam melaksanakan tugas secara adil, telus dan berintegriti.

“Pelantikan ini menjadikan jumlah Presiden TPPS pada ketika ini adalah seramai 43 orang iaitu 14 Presiden TTPR dan 29 Presiden TPS.

“Justeru, dengan pelantikan ini diharapkan proses pendengaran kes di TPPS dapat berjalan dengan lebih lancar dan efisien serta menepati sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini