KUALA BERANG: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan Ogos depan, lebih 5,000 mahasiswa akan melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tiada halangan dari pihaknya untuk semua penuntut itu menunaikan tanggungjawab masing-masing pada12 Ogos depan.
Beliau berkata, pada tarikh pengundian yang ditetapkan itu kebanyakan pelajar sudah pulang ke kampung selepas mereka selesai menduduki peperiksaan.
“Sekarang pelajar sedang berhadapan dengan peperiksaan dan pada hari mengundi, kebanyakan universiti sudah habis peperiksaan, jadi memang cuti.
“Hanya dua universiti yang ada peperiksaan, tapi tak ada peperiksaan pada hari Sabtu iaitu pada hari sama PRN berlangsung.
“PRN ini hanya membabitkan enam negeri manakala tujuh negeri tidak ada pilihan raya, jadi ramai juga pelajar yang memberi pandangan peperiksaan sewajarnya perlu diteruskan,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Parlimen Hulu Terengganu di Plaza Rahmat OKB, Kuala Berang, di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai agihan kerusi antara BN dan PH beliau berkata, ia sudah mencapai tahap 95 peratus.”Mungkin kerusi yang belum diputuskan itu di Kedah…mungkin di Terengganu,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, rundingan beberapa kerusi yang tinggal masih berjalan dan akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon diumumkan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Kedah, Terengganu Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Selain itu, Terengganu juga akan berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, yang bakal diadakan serentak dengan PRN.