GEORGETOWN: Sebanyak 5,335 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkod di Pulau Pinang sejak Januari hingga Sabtu lalu.
Jumlah kes itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus, berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 6,267 kes.
Artikel berkaitan: HFMD: Kes di Johor meningkat 45.7% minggu lalu
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi, setakat ini tiada sekolah atau pusat jagaan ditutup di Pulau Pinang membabitkan kes HFMD.
Katanya, majoriti kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 4,298 kes atau 80.6 peratus dan 803 kes (15.0 peratus) bagi kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun.
“Selebihnya ialah sebanyak 234 kes (4.4 peratus) bagi kumpulan melebihi umur 12 tahun.
“Peningkatan kes HFMD dikesan pada minggu epidemiologi (ME) ke-21 iaitu bermula 21 hingga 27 Mei, ” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.
Daniel berkata, meskipun banyak kes HFMD dilaporkan, tiada kematian dicatatkan termasuk kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Katanya, sebanyak 95.7 peratus kes HFMD di negeri ini berlaku di institusi pendidikan dan pusat jagaan membabitkan kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 50 tadika dikesan berlaku jangkitan HFMD dan diikuti dengan taska (33 kes), prasekolah dan tabika masing-masing 11 kes, sekolah rendah (12 kes) serta pusat jagaan persendirian (4 kes).
“Mengikut statistik, daerah Timur Laut merekodkan kes tertinggi iaitu 1,507 kes dan diikuti dengan daerah Barat Daya (1,214 kes), Seberang Perai Tengah (1,062 kes), Seberang Perai Utara (800 kes) dan Seberang Perai Selatan (752 kes),” katanya lagi.
Sehubungan itu, Daniel menasihati orang ramai khususnya ibu bapa serta pusat penjagaan kanak-kanak supaya menjaga tahap kebersihan dengan mengamalkan amalan cuci tangan dengan sabun bagi mengelak anak mereka dijangkiti HFMD.
Artikel berkaitan: 82,846 Kes HFMD Dilaporkan Setakat 4 Jun 2022 – KP Kesihatan