LUNDU: Lebih 500 penumpang menggunakan perkhidmatan bas di laluan baharu yang menghubungkan Kuching, Sarawak dengan Singkawang, Kalimatan Barat, Indonesia sejak ia mula beroperasi pada 1 Disember lalu.
Pembukaan laluan itu yang mula dibincangkan pada tahun lalu susulan pemintaan tinggi bagi perkhidmatan itu untuk menghubungkan dua bandar terbabit.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sebagai pemulaan, kekerapan perjalanan bas bagi kedua-dua laluan terbabit adalah satu perjalanan sehari dengan bas terbabit akan bertukar penumpang di Komplek Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Biawak di Lundu.
Ia susulan syarikat perkhidmatan bas yang diberi kebenaran untuk memberikan perkhidmatan itu masih belum digazetkan diperingkat persekutan selain masih menunggu kelulusan daripada Kemeterian Pengangkutan Malaysia bagi melakukan operasi rentas sempadan.
“Konsep perkhidmatan ini untuk sementara waktu dahulu sehingga bas-bas kita dapat kelulusan untuk beroperasi terus ke Kuching Sentral atau ke Singkawang,”
“Apa yang kita mohon sebelum ini ialah kita mahu perkhidmatan yang disediakan sama seperti laluan Kuching-Pontianak itu dengan bas kita bergerak dua hala iaitu bas dari Indonesia boleh terus masuk ke Kuching, bas kita dari Kuching boleh sampai ke Singkawang.
“Jadi ini akan lebih senang untuk sementaralah kerana ini memang mendapat banyak pemintaan daripada penumpang di kedua-dua lokasi terbabit,” katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan operasi bas rentas sempadan di CIQS Biawak, Lundu.
Menurut Kim Shin, berdasarkan perbincangan dan perjanjian asal, pelaksanaan perkhidmatan itu akan mengadaptasikan konsep perkhidmatan bas yang menghubungkan Kuching dengan Pontianak.
Bagaimanapun, jumlah kekerapan perjalanan sebenar bagi kedua-dua laluan itu belum ditentukan sepenuhnya dan pertambahan perjalanan akan dilaksanakan berdasarkan pemintaan semasa.
Ketika ini kekerapan perjalanan bagi perkhidmatan itu adalah masing-masing satu bas dari Kuching-Singkawang dan Singkawang-Kuching setiap hari.