Tumpuan :
Nasional

Lebih 5 juta meriahkan MAHA 2024

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SERDANG: Lebih lima juta pengunjung meriahkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2024 setakat 12 tengah hari tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sambutan kali ini mencatatkan nilai jualan langsung sebanyak RM41 juta, dengan 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion telah berjaya ditandatangani.

“Selain itu, Agrobank juga merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian luar biasa yang dicapai, terutama dalam peningkatan jualan anak benih, anak pokok dan binatang ternakan.

“Ini merupakan indikator positif bahawa minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang, di samping memperlihatkan kesedaran yang kian mendalam terhadap kepentingan keterjaminan makanan demi masa depan negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis penutupan MAHA 2024 di sini, hari ini.

Antara anak pokok yang mendapat sambutan termasuk cempedak, durian dan rambutan serta ternakan lembu jenis baka Brahman yang melebihi nilai jualan RM2 juta.

“Saya percaya MAHA 2024 akan memberikan impak positif yang signifikan kepada petani dan pengusaha agromakanan tempatan.

“Dengan pameran inovasi terkini, para petani berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan baru dan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka,” katanya.

Mohamad berkata antara keunikan penganjuran MAHA kali ini adalah pengenalan MAHA Go Global yang merupakan inisiatif untuk mengembangkan dan mempromosikan produk pertanian Malaysia ke pasaran global dan sebaliknya.

“Sebanyak lebih daripada 9,500 trade visitors dan 150 pempamer dari seluruh dunia direkodkan dalam penganjuran MAHA kali ini.

“Di bawah platform MAHA Go Global ini juga, sebanyak tiga persidangan telah diadakan iaitu 2nd Annual Food Security Asia Congress, Trade Export Conference atau TEX Talk dan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Agro MADANI 2024.

“Selain itu, tarikan baharu yang juga telah berjaya menarik lebih ramai pengunjung seperti Magical Night and 3D Water Show, Kids Attraction, Rhythm of The Farmers, Laman Padi Interaktif, Sunflower Garden dan Floating Market,” tambahnya.

Sempena sambutan ke-100, MAHA 2024 yang bermula pada 11 September di MAEPS Serdang akan melabuhkan tirainya harini selepas 12 hari penganjurannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini