comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 4,600 stesen pemancar dinaik taraf di Sabah

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PETALING JAYA: Sebanyak 4,629 stesen pemancar di Sabah telah dinaik taraf menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Langkah ini diambil untuk memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa sebanyak 303,569 premis akan dilengkapi dengan sambungan gentian optik melalui JENDELA.

Selain itu, perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut diperkenalkan di 138 lokasi di negeri tersebut.

“Konsep Pembuktian (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink juga telah dilaksanakan di kawasan pedalaman dan terpencil. Peranti telah dipasang di beberapa lokasi termasuk Papar, Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi), serta masing-masing satu lokasi di Kudat, Ranau, Tuaran, dan Nabawan,” jelas kenyataan tersebut.

Pemasangan peranti POC Starlink ini bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit sebagai salah satu langkah dalam memenuhi pelbagai keperluan yang terkandung dalam JENDELA.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa 118 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di seluruh Sabah, manakala 14 NADI baharu akan dibina.

Program di NADI kini memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan, bagi memperkasakan komuniti dan memastikan capaian serta peluang yang sama rata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini