PUTRAJAYA: Satu projek rintis pelabelan maklumat kalori dalam menu makanan bakal dilaksanakan mulai awal tahun depan di kafeteria dan restoran terpilih di pusat pentadbiran ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata projek itu juga akan diperluaskan ke seluruh negara.
Beliau berkata, ketika ini Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenalpasti kafeteria dan restoran yang akan mengambil bahagian dalam projek rintis itu.
Pada masa sama, katanya KKM juga melihat kerjasama dengan syarikat restoran makanan segera bagi membolehkan pelabelan maklumat kalori dalam menu makanan turut dapat dilaksanakan di rangkaian masing-masing.
“Sajian mereka tidak banyak berubah di rangkaian lain, jadi ini memudahkan pelaksanaan projek ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan Pelancaran Modul Pengurusan Berat Badan Trim & Fit, di kementeriannya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh.
Khairy berkata, melalui projek rintis itu kelak, KKM akan menyediakan segala persediaan termasuk maklumat pemakanan bagi memudahkan pengusaha kafeteria dan restoran, – BERITA HARIAN