comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 42 ribu nama baharu, daftar pemilih tambahan September 2023 boleh disemak sekarang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Daftar Pemilih Tambahan Bulan September 2023 (DPT BLN9/2023) yang diperaku serta diwartakan semalam, dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 22 November ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih tambahan berkenaan mengandungi 42,699 nama warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 September 2023, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Katanya, daftar pemilih tambahan ini juga mengandungi 6,652 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,386 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.

“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN9/2023 iaitu portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

“Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Ikmalrudin Ishak. – Foto fail NSTP

Menurut Ikmalrudin warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 September 2023 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, diseru untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2023.

Beliau berkata sekiranya mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar pemilih berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.,my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Ikmalrudin berkata Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN9/2023.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN9/2023, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. – BERNAMA

Loading...
Terkini