Tumpuan :
Nasional

Lebih 400,000 Spesies Bunga, Tumbuhan Di Floria Diraja Putrajaya 2022

Oleh Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Setelah hampir dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19, Floria Diraja Putrajaya 2022 kembali lagi menemui orang ramai.

Festival yang bermula esok sehingga 4 September itu akan mempamerkan lebih 400,000 bunga serta tumbuhan pelbagai spesies dan warna dari dalam dan luar negara.

Penganjuran kali ke-12, di Anjung Floria Presint 4, Putrajaya itu membawa tema Floria Hebat yang mana bunga Orkid dipilih sebagai bunga tema.

10,000 jenis pokok Orkid juga akan dipamerkan sepanjang tujuh hari penganjuran.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata bayaran yang dikenakan berbaloi dengan tarikan serta aktiviti yang dilaksanakan sepanjang penganjuran festival itu.

“Kali ini, kita kenakan sedikit bayaran dan bayarannya sama macam kita laksanakan sebelum ini RM15 dewasa, kanak-kanak RM5 dan warga emas juga RM5. Saya rasa tak rugi dengan bayaran itu kerana ada banyak pengisian sepanjang hari. Jadi, kita jemput orang ramai untuk dating ke Floria Putrajaya 2022.”

Sebanyak 50 ruang perniagaan berkonsepkan Garden Bazaar turut disediakan untuk pengunjung kali ini.

Antara tarikan utama yang boleh dilawati pengunjung termasuklah Karoemt Merah atau Sky Walk yang menjadi laluan utama ke Floria, Gemerlapan Floria, Clock Meadow, Wall of Orchids, Taman ‘Glow in the Dark’, Floral Pavilion serta Pertunjukkan Orkid VIP.

Foto: Facebook Perbadanan Putrajaya

Gemerlapan Floria juga akan membawa satu pengalaman baharu dengan beberapa laluan dan tapak akan dihujani dengan limpahan cahaya berwarna-warni yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung pada waktu malam.

Festival berkenaan turut menerima penyertaan antarabangsa termasuk dari Singapura, China, Korea, Jerman dan New Zealand.

Edisi kali ini juga menyasarkan lebih 500,000 kehadiran pengunjung.

Loading...
Terkini