Oleh Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Selepas hampir dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19, Floria Diraja Putrajaya 2022 kembali lagi menemui orang ramai.
Festival yang bermula esok sehingga 4 September itu akan mempamerkan lebih 400 ribu bunga serta tumbuhan pelbagai spesies dan warna dari dalam dan luar negara.
Penganjuran kali ke-12 , di Anjung Floria Presint 4, Putrajaya ini membawa tema ‘Floria Hebat’ yang mana bunga orkid dipilih sebagai bunga tema.
10 ribu jenis pokok orkid juga akan dipamerkan sepanjang tujuh hari penganjuran.
”Kali ini kita kenakan sedikit bayaran dan bayarannya sama macam kita laksanakan sebelum ini RM15 dewasa dan kanak-kanak RM5, warga emas juga RM5. Saya rasa tak rugi dengan RM15 ada pengisian yg banyak waktu siang dan malam, jadi kita jemput ramai-ramai untuk datang ke Floria Putrajaya 2022,” kata Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud di sini hari ini.
Selain menjamu mata menyaksikan kecantikan bunga dan spesies tumbuhan, pengunjung juga boleh mengunjungi 50 ruang perniagaan berkonsepkan garden bazaar.
Festival ini turut menerima penyertaan antarabangsa termasuk dari Singapura, China, Korea, Jerman dan New Zealand.
Edisi kali ini juga menyasarkan lebih 500,000 kehadiran pengunjung.