Tumpuan :
Nasional

Lebih 40 kumpulan ajaran sesat di Selangor dalam penguatkuasaan, pemantauan

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Ijtima’ Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2024. – Foto Ihsan JAIS

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendedahkan terdapat lebih 40 kumpulan ajaran sesat di negeri ini sedang dalam pemerhatian, pemantauan dan penguatkuasaan pihaknya.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya berdepan dengan cabaran hebat dalam usaha mengendalikan kumpulan terbabit kerana ajaran sesat mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza.

“Bahagian dakwah kita perlu merancang dengan amat teliti bagaimana cara untuk membetulkan atau memulihkan mereka sebab kepercayaan mereka begitu mendalam terutamanya GISB Holding (GISBH) berkait tarikat Muhammadiah.

“(Seperti GISBH)… bukan senang kerana pengikut mereka ramai. Sekarang mereka tidak pakai uniform mereka, kita tidak tahu siapa. Mengikut fatwa, mereka mesti bertaubat.

“Jadi, kita wajib memulihkan mereka semua agar kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pemulihan ini memerlukan kerjasama kedua-dua pihak… tidak boleh sebelah pihak sahaja (termasuk pengikut ajaran sesat),” katanya ketika ditanya mengenai kumpulan ajaran sesat di Selangor selain GISBH.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Ijtima’ Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2024 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ketika ucapan pula katanya, pendakwah khususnya pemegang tauliah mengajar di Selangor perlu cakna terhadap isu GISBH termasuk menyampaikan tindakan dilakukan pihak berkuasa dalam menangani isu itu.

Beliau berkata, peranan pendakwah diharapkan dapat bersama dengan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menyampaikan ilmu berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kenyataan dikeluarkan oleh MAIS dan JAIS adalah tindakan tegas terhadap golongan GISBH seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Bukan hanya menuding jari kepada pihak MAIS dan JAIS untuk tindakan yang perlu dilaksanakan.

“Kini, pihak MAIS dan JAIS sedang berusaha keras dengan agensi-agensi berkaitan untuk proses pemulihan kepada kanak-kanak dan pengikut GISBH yang ditangkap oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, MAIS memperakui seramai 5,700 Penceramah Bertauliah Negeri Selangor (PBNS) setakat ini.

“PBNS ini sebagai barisan hadapan perlu memberi respon isu-isu membabitkan kepentingan Islam supaya tidak menimbulkan polemik dalam masyarakat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini