comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 4.3 juta kenderaan masuk melalui sempadan Johor-Singapura

KUALA LUMPUR: Lebih 4.3 juta kenderaan memasuki negara ini melalui dua pintu sempadan Johor-Singapura dengan caj jalan (RC) sebanyak RM87,944,580.00 dikutip sehingga September tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata secara purata 16,107 kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura, setiap hari.

Katanya, setiap hari dianggarkan 89,818 perjalanan dilakukan pelbagai kenderaan yang merentasi sempadan Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), bagi tempoh sama.

“Purata harian jumlah perjalanan kenderaan adalah kereta (31,194), motosikal (53,000) , komersial bas (3,531) dan komersial lori (2,093),” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (PH- Bakri) berhubung jumlah kenderaan yang merentas sempadan Johor-Singapura secara purata setiap hari mengikut pecahan jenis kenderaan dan antara jumlah itu, berapa jumlah kenderaan Singapura dan hasil kutipan RC dipungut.

Tambahnya, jumlah kutipan RC sepanjang 2023 adalah lebih RM91 juta, dengan tahun ini Malaysia akan melihat peningkatan jumlah kenderaan daripada Singapura yang memasuki Johor.

“Sudah tentu jumlah kutipan RC akan melebihi RM100 juta, anggaran saya pada tahun ini.
“Keseluruhan hasil kerajaan dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan, namun begitu daripada jumlah ini setiap RM20 yang dikutip kerajaan Persekutuan, RM5 dikembalikan kepada kerajaan Johor,” katanya.

Loke berkata, pihaknya akan cuba berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya kutipan RC disalurkan semula untuk kegunaan pengangkutan awam.

“Apabila RTS siap kelak, kita memerlukan lebih banyak rangkaian bas di Johor Bahru dan sudah tentu memerlukan peruntukan tambahan.

“Salah satu cara adalah berunding supaya apa yang dikutip melalui RC disalurkan kembali kepada pengangkutan awam di Johor Bahru, khususnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini