comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 3,600 penjawat awam muflis sejak 2020

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,602 kes kebankrapan direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dalam kalangan penjawat awam bermula 2020 hingga September 2024.

Daripada jumlah itu sebanyak 666 kes direkodkan sejak Januari 2024, manakala 628 kes bagi tahun lalu, 621 kes (2022), 678 kes (2021) dan 1,009 kes (2020).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan sentiasa memandang serius masalah muflis dan keterhutangan dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata ketua jabatan di setiap kementerian dan jabatan bertanggungjawab untuk memantau dan menilai semula keupayaan pegawai yang mempunyai keterhutangan yang serius, untuk membayar hutang mereka dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam hal yang demikian, Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius, antara lain memperuntukkan bahawa bagi tujuan had potongan gaji, pendapatan bersih pegawai awam hendaklah berada sekurang-kurangnya pada paras minimum 40 peratus daripada emolumen bulanan pegawai, melainkan terdapatnya pinjaman perumahan dan pendidikan.

“Antara peranan Unit Integriti yang diwujudkan di setiap kementerian dan jabatan kerajaan adalah untuk memantau pegawai yang menghadapi keterhutangan kewangan serius berdasarkan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Selain teguran dan amaran, penjawat awam yang terlibat juga diberikan bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan situasi muflis dan tindakan tatatertib yang berbangkit daripadanya.

“Kerajaan juga tekad menjalankan pemantauan berterusan terhadap status keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dirancang untuk tempoh 2021 hingga 2025 dengan menyediakan langkah-langkah pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan yang kukuh untuk memastikan integriti dan ketelusan untuk mengurus kewangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah peningkatan kes muflis di kalangan penjawat awam yang semakin membimbangkan.

Azalina berkata, dalam menangani isu peningkatan kes muflis dalam kalangan penjawat awam, Mdl sentiasa komited dalam melaksanakan usaha untuk menjalankan program kesedaran berkenaan implikasi kebankrapan ke atas penjawat awam.

Beliau berkata MdI turut memberikan khidmat nasihat dan penerangan berkenaan pelepasan kebankrapan di bawah inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dibentangkan pada Belanjawan 2024, memberi manfaat kepada pelepasan kebankrapan dalam kalangan penjawat awam dan memberi peluang kedua untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan taraf kehidupan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini