
Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Golongan belia menjadi kumpulan paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah pada 2024.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), individu berusia 15 hingga 39 tahun mencatat jumlah tertinggi dalam kalangan 192,857 individu yang ditahan tahun lalu.
Statistik itu menunjukkan peningkatan drastik sebanyak 32.5 peratus berbanding 145,526 individu pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan ancaman serius terhadap masa depan belia dan negara.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, menegaskan peranan ibu bapa sebagai benteng utama dalam membendung gejala itu sebelum ia merosakkan kehidupan anak-anak.
“Ibu bapa perlu mula pantau anak-anak mereka sejak sekolah rendah hingga ke universiti. Jika ada perubahan tingkah laku yang mencurigakan, segera dapatkan bantuan AADK,” katanya ketika lawatan ke Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad di Jalan Riong, pagi tadi.
Sementara itu, lima negeri mencatat kes melibatkan dadah tertinggi tahun lalu ialah Kelantan (1,130 kes), Terengganu (974 kes), Perlis (965 kes), Kedah (898 kes), dan Pulau Pinang (803 kes).
Dadah sintetik terus menjadi ancaman utama dengan 139,909 kes direkodkan, diikuti opiat (39,895 kes) dan ganja (7,121 kes).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.